Tuesday, November 18, 2008

PESTA KUBIS ... ITU SAJA KAH TENTANG KUNDASANG ?


Perjalanan ke Kundasang pada 15hb - 16hb lalu, membawa saya ke Pesta Kubis yang agak minima publisitinya, tetapi rupanya telah pun dilaksanakan sejak tahun 1997 (sudah 9 kali). Pesta ini tidak diadakan pada tahun 1998, 2000 dan 2002. Semasa pesta berlangsung, juru acara yang mengendalikan pelbagai program pertandingan, berulang kali melaungkan ungkapan " mustahil! kalau tidak minum ... ".



Mengikut sejarah penanamannya, kubis telah pun ditanam di Kundasang sejak 50 tahun dahulu. Kunjungan ke pesta ini juga membolehkan saya mengetahui lebih banyak tentang kubis. Jenis Kubis yang mula-mula diperkenalkan ditanam di Kundasang adalah daripada jenis Ball Head. Jenis ini akan matang dalam tempoh 75 hari, dan boleh mencapai berat 2.5 kg. Perkembangan semasa membawa kepada pengenalan beberapa jenis kubis. Antaranya Tight Globe, Green Cup, Cavalier, Resis Crown, Green Stone, N-S Cross, Southern Treasure, Spring Hero, Resist Lake, Autumn Queen, M633, Savoi Ace dan banyak lagi. Beberapa jenis kubis ini boleh mencapai berat sehingga 6 kg. Kubis jenis Green Point merupakan kubis berbentuk bujur. Jenis ini mempunyai harga pasaran yang baik (tinggi) berbanding yang lain dan kini pasarannya semakin meluas.


Walaupun dinamakan Pesta Kubis, tetapi Kundasang juga menghasilkan tanaman tanah tinggi yang lain seperti kentang, cili, broccoli, tomato dan lainnya. Walaupun penghasilan sayuran kubis dan lainnya dari kawasan Kundasang ini agak tinggi, tetapi pasarannya hanya berkisar di negeri Sabah dan negara jiran Negara Brunei. Tidak seperti di Cameron Highlands yang pasarannya meliputi seluruh Semenanjung Malaysia, malahan ke seberang tambak, Singapura. Pasaran yang agak tertutup dalam negeri, mungkin menyebabkan para penanam sayur tidak mampu meningkatkan ekonomi sedia ada. Ini kerana sayur merupakan produk yang tidak boleh bertahan lama kesegarannya.

Ada juga saranan daripada pemimpin setempat agar perusahaan IKS diwujudkan bagi sebagai tambah nilai (value added) kepada sayuran tadi. Umpamanya pembukaan perusahaan membotolkan sos. tetapi ia mungkin tidak mampu bertahan jika bekalan bahan mentah itu sendiri tidak dapat dihasilkan secara berterusan.

Sebagai tuan tanah dimana terletaknya Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara, Kundasang sememangnya menjadi tumpuan pada pelancong samada dalam negeri mahupun luar negeri. Ini boleh dapat dilihat dengan kadar penginapan di hotel, resort serta penginapan budget yang tinggi.

Apa pun, samada kita setuju atau tidak, sesuatu perlu dilakukan terhadap Pekan Kundasang yang saya lihat kurang dari segi kebersihan (sampah sarap hampir diserata perkarangan kedai, gerai dan jalan) kerana ini mungkin memberi kesan negatif terhadap kedatangan pelancong pada masa hadapan. Sesuatu juga perlu dilakukan terhadap bangunan kedai dan gerai di pekan ini yang berserabut dan tidak tersusun. Dan sesuatu juga perlu dilakukan terhadap pemandangan gerai-gerai menjual sayur disepanjang jalan yang agak usang dan buruk, tidak padan dengan kesegaran sayur yang dijual didalamnya.



Pesta Kubis 2009, semua ini mungkin sudah berubah ?...

No comments: