Tuesday, December 30, 2008

wajib pakai tali pinggang belakang : ini peraturan yang ke berapa ?

mula 1 januari 2009, semua penumpang belakang wajib memakai tali pinggang belakang. sebenarnya sudah banyak peraturan dibuat oleh kerajaan sama ada untuk orang berkenderaan atau bermotorsikal. tapi, semakin banyak peraturan, semakin banyak juga kemalangan.

sekarang penumpang belakang juga kena pakai tali pinggang. bukannya peraturan ini tidak bagus, tapi banyak juga perkara yang kerajaan kena pertimbangkan. biasanya tali pinggang belakang ni cuma ada dua saja. jadi cuma dua orang saja yang akan pakai tali pinggang belakang. bagaimana dengan yang ada ramai ahli keluarga?. tempat duduk belakang mungkin ada lebih daripada dua orang yang duduk. tentunya jika ada tiga penumpang, seorang tidak akan pakai tali pinggang.

kalau ambilkira pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan selama ini, tak banyak kesan positifnya. pemakaian tali pinggang belakang pun mungkin akan menerima nasib yang sama macam peraturan lain.

apa yang penting sebenarnya adalah kesedaran orang ramai. kenderaan ni tidak akan merbahaya jika tidak dipandu laju. segala-galanya daripada faktor pemanduan. kalau bawa laju, tentu akan kemalangan juga. tali pinggang belakang tidak memberi sebarang impak ketara dari segi keselamatan. kalau sudah laju, apa jenis tali pinggang dipakai, tetapi memakan korban juga. silap-silap motivasi pemandu untuk memandu laju akan meningkat kerana dia percaya jika semua penumpang memakai tali pinggang, jika kemalangan pun, masih lagi selamat. bagaimana pula kalau kenderaan masuk dalam sungai dan tenggelam? kalau pakai tali pinggang, sempatkah buka ?. kena kempen tahan nafas lagi ...
UKUR BAJU DIBADAN SENDIRI
selain Barisan Nasional dan PAS, difahamkan calon parti lain dan Bebas juga akan bertanding dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 januari depan.

kalau BN dan PAS, kita tahulah kekuatan yang ada. tapi, yang lain ni, rasanya saudara sendiri pun ramai yang tak sokong. tidakkah mereka terfikir, setakat mana sokongan yang mampu mereka perolehi jika bertanding dalam pilihanraya. kalau pun menang;... tapi tak mungkin akan menang. habis macam tu saja deposit. baik bagi pada orang yang susah.

kita amat sedih macam mana orang seperti Maimun Yusof(Tok Mun), 89 tahun boleh tergerak hati mahu bertanding. dalam pilihanraya umum lalu, beliau mungkin hanya dipergunakan oleh pihak tertentu. bukan nak mengata, kalau dah bergolok bergadai, baik duduk diam dalam rumah saja. baru-baru ini, keluar dalam tv Tok Mun kata mungkin tak bertanding dalam pilihanraya kecil nanti. kalau betullah rumah masa interview tv tu rumah dia, macam tak masuk akal dia ada niat mahu masuk pilihanraya. nampak sangat daifnya. apalah agaknya yang membuatkan seramai 628 pengundi, mengundi beliau semasa pilihanraya umum lepas...
FERI WAWASAN YANG KURANG WAWASAN

ke Pulau Labuan bukanlah semata-mata kerana apa yang terdapat di sana. jika dibandingkan dengan negeri Sabah, tentunya lebih banyak pilihan kalau mahu melawat atau membeli belah berbanding Labuan. biarpun namanya pulau bebas cukai. untuk orang labuan o.k lah, kereta import mungkin murah. kebanyakan orang di sabah, mahu ke Labuan kerana melawat saudara mara di sana.

tiada yang masalah sangat jika ke Labuan, kecuali perkhidmatan ferinya. kelihatan gagah dengan muatan maksima kereta menjangkau 70 buah, tidak memberikan sebarang pengalaman menarik jika perkhidmatan tidak dibaiki. segala-galanya kerana feri. tidak ikut jadual sampai, sering rosak dan masa mendarat yang membosankan. bayangkan menempuh perjalanan selama 2 jam, dan tiba di Labuan, tapi berpusing-pusing lagi 2 jam, kerana hanya satu enjin sahaja berfungsi; tidak boleh berlabuh. 4 jam masa perjalanan. ke kuala lumpur pun baru 2 jam setengah. dan kalau kapal terbang, berputar-putar di udara sampai 2 jam mungkin sudah jatuh; habis minyak.

begitu banyak rungutan tentang perkhidmatan feri. orang di sabah. lagi-lagilah orang labuan. difahamkan hanya sebuah syarikat mendapat kontrak perkhidmatan feri menumbok-labuan. tentunya jadi tidak efektif. setiap hari belayar, manalah enjin tahan. sedang manusia pun boleh rosak.

kerajaan patut dengar rintihan rakyat. terutama masa rakyat masih sayangkan kerajaan. nanti kalau sudah jadi macam di negeri yang jatuh ketangan pembangkang, dah terlambat. bukalah perkhidmatan kepada syarikat lain juga. macam cerita MAS dan Air Asia. yalah, walau pun kerajaan ada kata pemutus, tapi kata pemutus pengundi tentunya lebih mahal harga.

Wednesday, December 24, 2008

BIAR MEREKA JERIT SAMPAI `SARUT ' SUARA


Tindakan pertubuhan tidak berdaftar Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) berbasikal dari utara ke Bangunan Parlimen sebenarnya bukanlah isu sangat. berbasikal itu bagus untuk kesihatan. yang jadi isu, bila mereka menggunakan kanak-kanak sebagai peserta berbasikal. inilah masalahnya bila politik disalahgunakan. bukan sahaja basikal jadi mangsa, kanak-kanak juga turut terbabit sama. mungkin ini adalah cara mereka untuk mendapat perhatian daripada orang lain. kalau namanya simpati, siapa juga mahu simpati dengan nasib mereka ini. padahal, ada banyak cara untuk menyuarakan sesuatu pandangan. apatah lagi, antara penganjur berkayuh sambil menjerit ini pun adalah ahli parlimen. sepatutnya mereka jerit dalam parlimen dan bukannya di tengah jalan. bukan sahaja jalan jadi sesak tapi anggota polis pula terpaksa berkawal di sana sini.

soalnya, apakah yang mereka dapat dengan berbuat demikian? masalah tak kan selesai juga. patutnya buktikan dulu apa yang dikata di negeri-negeri yang diperintah. barulah minta kerajaan persekutuan buat apa yang dituntut. kanak-kanak memanglah mudah untuk digunakan, tapi risikonya juga besar. kanak-kanak tidak boleh dididik dengan perkara yang salah disisi undang-undang. mana tahu apabila besar nanti, mereka akan buat benda yang sama. kita mahu negara kita aman damai dan bukannya berantakan.

Tuesday, December 23, 2008

PEMILIHAN UMNO TENOM : RUBIN BALANG PERLU JADI ROBIN HOOD
Pemilihan UMNO Bahagian Tenom sudah pun berlangsung. yang menang dan yang kalah sudah kita semua tahu. UMNO menjadi satu-satunya bahagian di negeri ini yang terakhir mengadakan pemilihannya. tangguh menangguh dan pelbagai tuduh menuduh sudah jadi rahsia terbuka. dari pengumuman menang tanpa bertanding hinggalah menang dengan bertanding telah pun diketahui. samada ikut jadual atau dilambatkan dari jadual, takdir Tuhan tidak boleh diubah; yang ditakdirkan menang akan menang dan yang kalah akan kalah. pokoknya demokrasi sudah pun mengambil tempatnya.

yang penting sekarang, ahli-ahli UMNO Tenom kena bersatu kembali. mandat perwakilan telah pun jelas, ketua UMNO Bahagian ialah Datuk Rubin Balang. yang kalah hendaklah menerima kekalahan dengan hati terbuka, seperti mana orang kalah terdahulu. tidak perlu terlalu kecewa. pemilihan akan datang cubalah lagi. yang menjadi masalah dalam UMNO bukanlah pertandingan, tetapi apabila yang menang mahu menang semua dan yang kalah tidak mahu menerima kekalahan.

kini tanggungjawab terpikul di bahu Datuk Rubin Balang untuk menyatukan ahli-ahli UMNO. apatah lagi, dalam suasana pilihanraya kecil Parlimen Pensiangan yang sudah mengetuk pintu, disebelah sempadan. Datuk Rubin Balang dan barisannya punya tanggungjawab berjuang bermati-matian untuk memastikan BN kekal di Pensiangan. kerana peperangan sebenar bukan dalam parti tapi menghadapi parti lawan. Rubin Balang kena jadi Robin Hood lah ...
UJIAN HIV : PATUT WAJIB UNTUK SEMUA


kerajaan memutuskan setiap pengantin Islam yang berkahwin wajib menjalani ujian saringan HIV sebelum berkahwin. ini supaya penyakit berkenaan tidak menular dan merebak kepada pasangan dan anak-anak. peraturan ini adalah peraturan yang baik dan patut dikuatkuasakan sejak dulu. tidak ada jaminan, si lelaki tidak ada penyakit HIV, kerana luaran tidak mencerminkan apa yang ada di dalam termasuk penyakit. lelaki berkenaan mungkin nampak sihat dan tidak mempunyai penyakit. tapi siapa tahun dia ada HIV. begitu juga si perempuan. jadi, siapa pun samada lelaki atau perempuan, tentunya tidak mahu tertipu. cinta tu cinta juga kan!. lain lah kalau siang-siang pasangan berkenaan sudah maklumkan dia ada penyakit HIV.


tapi patut juga peraturan ini dikuatkuasakan pada semua. kita tidak fikir, pengikut agama lain rasional untuk membantah. inikan untuk kebaikan mereka juga. lain lah kalau mereka tidak kisah jika lepas kahwin baru tahu pasangan masing-masing ada HIV. tentu sudah terlambat kan?. kalau tak sokong, pelik kan ?
SWASTAKAN IJN : RAKYAT SABAH LEBIH MENDERITA

Cerita penswastaan institusi kerajaan bukanlah perkara baru. termasuklah kisah Institut Jantung Negara (IJN). Sime Darby dikatakan akan mengambilalih 51 peratus ekuiti dalam IJN daripada Menteri Kewangan Diperbadankan. Institut Jantung Negara (IJN) yang mahu diswastakan, hanyalah sekadar tambahan rekod walaupun kerajaan akhirnya menangguhkan cadangan berkenaan, tapi kita semua tahu bahawa cadangan berkenaan telah dibawa kepada pihak kerajaan. penangguhan hanya timbul kerana bantahan orang ramai.

sudah menjadi amalan, bila sesuatu penswastaan dibuat, perkhidmatan yang selama ini murah akan menjadi mahal. ini kerana para pemegang saham mahukan keuntungan. jadi kalau IJN mahu diswastakan, tentunya tidak ada jaminan sebarang bayaran perkhidmatan akan kekal murah. kerana soal `untung' akan mendominasi pengurusan institusi berkenaan.

sebarang penswastaan IJN tentunya menambahkan lagi kesusahan orang ramai di Semenanjung. dan, kalau sudah mereka pun susah, tentunya kita yang datang dari Sabah dan Sarawak lagi susah. ialah, kita pun tahu tambang udara ke Kuala Lumpur pun sudah mahal. itu belum kira lagi soal makan minum dan tempat tinggal. kalau ada saudara mara, o.k lah. tapi yang tiada, bagaimana ?. ini semua mungkin tidak pernah difikirkan oleh mereka di atas sana.

bercakap tentang IJN, apa yang mahu kita ketengahkan di sini ialah, keperluan sebuah IJN seumpamanya ditubuhkan di negeri ini. kalau sudah ke KL, tentunya belanjanya agak mahal. kalau orang kampung yang susah, ini semua diambil kira. lagilah kalau tidak ada saudara. kita tidak dapat bayangkan bagaimana mereka yang tinggal nun jauh di pedalaman boleh bersedia menghadapi situasi menjaga pesakit di Kuala Lumpur dalam keadaan tidak ada saudara mara. kerajaan kasihanlah pada mereka semua ini. kerajaan kena buat juga. rasanya kerajaan boleh buat, kerana kerajaan kita adalah Kerajaan Prihatin.

Friday, December 19, 2008

PENDUDUK KAMPUNG AIR MEMANG SUKA BUANG SAMPAH MERATA TEMPAT

Saranan Timbalan Pengerusi JKKK Kg.Tanjung Aru Lama, agar Kampung Air di Kg. Tanjung Aru Lama dan Sembulan dirobohkan dan penduduknya dipindahkan ke daratan memang amat tepat.

kalau kita melawat perkampungan atas air samada di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kudat dan lain-lain, memang kita kagum dengan bakat penduduknya membuang sampah merata tempat + sesuka hati. kita pun hairan, bagaimana mereka ini boleh hidup di kawasan seperti ini. padahal tabiat buruk mereka ini menyebabkan penyakit dan bau busuk. ialah, sampah yang dibuang dari pelbagai jenis dan sebahagiannya tidak akan lupus seperti plastik. mungkin antara puncanya, tempat-tempat seperti ini disewakan kepada PTI yang memang tidak kisah hidup samada atas sampah atau bawah sampah.

saya memuji tindakan pihak berkuasa membersihkan kawasan penempatan atas air di Kg.Likas. kawasan berkenaan nampak buruknya, apatah lagi ia dilalui bagi mereka yang ke Yayasan Sabah dan Wisma Innoprise, pejabat Ketua Menteri kita. sekarang kawasan berkenaan amat bersih, cantik dan tidak pedih mata kita memandang. mungkin kalau dijaga dengan baik, ia boleh menjadi tempat tumpuan.
pihak berkuasa hendaklah tegas dengan fenomena buruk ini. apa pun kempen yang dibuat, ia tidak akan berkesan, kerana tabiat kotor ini sudah berakar umbi. tidak payah kita ke negara barat, kalau di negara Brunei, kampung atas air ini menjadi produk pelancongan. tapi kalau tempat kita, bukan jadi tempat pelancongan tapi tempat pelencungan. jadi rasanya lebih baik kawasan ini ditutup dan dibersihkan. ditimbus kemudian barulah dibina penempatan baru. sekarang masa untuk bertindak dan bukan kempen mengempen lagi.




Friday, December 12, 2008

SKIM CEPAT KAYA KAN PENGANJUR
balik ke kampung beberapa hari lepas, saya mengambil peluang berbual dengan beberapa penduduk kampung. ada belia dan ada beliau. topik perbualan berkisar kepada pelaburan wang yang menjanjikan pulangan lumayan. dulu namanya skim cepat kaya. sekarang diberi dengan pelbagai nama, pelaburan, deposit serta perkongsian. saya tertarik dengan maklumat yang diberikan, betapa ada penduduk kampung yang tidak bekerja tapi mampu memakai kereta. ccm dibayar melalui faedah pelaburan yang dibuat. yang melabur meliputi pelbagai peringkat. dari yang tidak ada pekerjaan @ penggangur, hinggalah ke jawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta. pelaburan dari serendah RM 1000.00 hinggalah puluhan ribu. sebahagian besarnya meminjam dari bank untuk tujuan berkenaan. yang melabur tinggi, kononnya akan dapat faedah bulanan yang tinggi.

skim cepat kaya ini telah bertapak sejak sekian lama. dari cerita Pak Man Telo lagi. zaman berubah, pendekatan penganjur skim juga berubah. kemudian, pelaburan melalui internet pula menjadi popular. bila kerajaan haramkan, ramai yang kandas. kemudian, balik pula cerita pelaburan cara lama. melabur wang dengan pulangan tertentu.

kadang-kadang macam sukar juga kita percaya skim ini memudaratkan. ini kerana penganjur berjaya memberikan pulangan seperti dijanjikan. pelabur rugi kemudiannya kerana penganjur diharamkan oleh kerajaan.
walau bagaimanapun, perbualan dengan orang kampung tadi, menyebabkan saya terfikir kesan negatif pelaburan berkenaan kepada masyarakat kita. ia menjadikan masyarakat kita malas berusaha. ialah, duduk diam-diam, hujung bulan terima habuan pelaburan. kalau penganjur tutup kedai dan cabut lari, ke mana pelabur mahu cari. yang labur RM 1000.00 taklah terasa. tapi yang labur puluhan ribu, bagaimana?. kalau benar skim ini untung, tidak payahlah para kontraktor serta orang kaya buat projek di sana sini. baik labur saja dalam skim ini. yang pasti, ini lah skim cepat kaya kan penganjur.

Thursday, December 11, 2008

MENCARI TAPAK HOSPITAL QUEEN ELIZABERTH YANG BARU

sah! bangunan Hospital Queen Elizaberth sedia ada sudah tidak selamat. sebahagian besar penghuninya pun telah dipindahkan ke beberapa hospital di sekitar Kota Kinabalu. kerajaan kena bina hospital baru bagi menampung keperluan pesakit seperti mana fungsi HQE.

sejarah HQE cukup panjang. biarpun bukan disebabkan masalah struktur bangunan yang tidak selamat, rasanya hospital ini kena pindah juga. apa tidaknya, pengalaman ramai pengguna membuktikan hospital HQE tidak mampu memenuhi keperluan bukan sahaja pesakit tetapi juga keluarga pesakit dan pelawat. lif saja pun sudah cukup menjadikan pesakit menjadi bertambah sakit. lif di shopping complex lebih laju dan lebih cantik daripada lif di HQE. ini belum lagi bila kita bercerita soal parking, katil pesakit, ruang menunggu dan kemudahan lain. kerajaan sudah buat yang terbaik, tapi sebagai pengguna yang membayar cukai tentunya pengguna mahu yang terbaik. kesesakan di HQE kadang-kadang mengalahkan pasar. semua orang mahu ke HQE. mungkin kerana memikirkan hospital di KK lebih baik daripada tempat lain. ada juga yang beri alasan doktor pakar ada di sini. jadi hospital lain di daerah kurang pengguna. hospital daerah Kuala Penyu misalnya, seperti hospital swasta. bersih, peralatan moden, katil yang cukup. rasa macam tidak sakit berada di dalamnya. tapi ada yang kata, doktornya kurang, apa lagi yang pakar. jadi ke HQE jugalah orang.

kalau kerajaan mahu bina hospital baru, kenalah beri perhatian semua aspek. kemudahan parking umpamanya perlu mencukupi. jangan mahu saman saja, macam sekarang. begitu juga kemudahan untuk keluarga pesakit menunggu. perlu ada dan selesa. tetapi yang paling penting lokasinya hendaklah strategik, bas awam pun boleh ada. ialah, bukan semua orang ada kereta. pasal mentaliti orang kita sudah begitu; dia mahu "macam di kk".

Wednesday, December 10, 2008


KERANA SUBSIDI MINYAK ... NELAYAN KAYA MOGOK

beruntungnya para nelayan kita samada nelayan kaya atau susah. apa tidaknya, mereka mendapat subsidi minyak diesel dari kerajaan. dua tiga hari lepas beberapa pengusaha kapal ikan melancarkan mogok. tidak mahu ke laut kerana kononnya rugi apabila minyak subsidi kerajaan RM1.43 seliter tidak dapat menampung kos operasi. sebelum Jun, minyak subsidi berharga RM1 seliter.

teringat saya semasa Datuk Mohd.Shafie Apdal menjadi menteri KPDNHEP. kata beliau, walaupun subsidi bertambah, tapi jumlah ikan yang naik ke darat tidak bertambah. bagi saya, kalau pengusaha kapal ikan memiliki kapal sehingga 4-5 buah, pengusaha berkenaan bukan kategori yang perlu mendapat subsidi. mereka pengusaha kaya. yang patut dapat subsidi ialah nelayan miskin di kampung-kampung. ini baru namanya sasaran yang tepat. lagipun mereka ini tidak ugut kerajaan, kerana ikan mata pencarian mereka.

pengusaha kapal ikan patut bisnes dengan biaya sendiri. lagi pun apa yang orang ramai dapat?. berapa banyak pun ikan naik ke darat, harga tetap mahal. ikan basung pun sampai RM 7.00 sekilo. maknanya subsidi hanya beri menafaat kepada pengusaha kapal ikan bukan kepada semua. taukeh-taukeh kapal ikan buat rumah besar, pakai ninja king. kita pun mana tahu, kalau-kalau minyak dijual ditengah laut. ialah, harga di negara jiran tentunya mahal. susah-susah tangkap ikan, gajikan ramai pekerja, tentu ada yang terfikir jual saja minyak. mudah dan cepat hasilnya.

kerajaan patut hapuskan saja subsidi minyak diesel. kadang-kadang subsidi yang diberikan tidak berbaloi dengan ugutan balik kepada kerajaan. kadang-kadang nelayan kecil pun ambil kesempatan. ada juga kita dengar, nelayan kecil ini beli minyak subsidi, tapi bukan isi enjin bot, tapi isi enjin kereta.

BILA KEDAI RM2, JADI PILIHAN
membeli barang di kedai RM2, telah menjadi budaya baru kepada masyarakat kita. hasilnya kedai-kedai seumpamanya beroperasi di sana-sini. hampir 90 % barangan yang dijual datangnya dari negara China. barangan yang dijual juga meliputi sebahagian besar keperluan masyarakat kita. dari pinggan mangkuk, barang dapur, barang plastik hinggalah alat elektrik. kita membeli kerana murah.

inilah masalahnya apabila masyarakat kita melihat kepada faktor harga semata-mata dan bukannya kualiti sesuatu produk. terdapat barangan yang dibeli sebenarnya tidak tahan lama, kerana ia dibuat daripada bahan yang bermutu rendah. malahan terdapat juga barangan berkenaan yang mungkin mengandungi bahan beracun seperti melamine pada pembuatan pinggan mangkuk. begitu juga barangan eletrik yang bukan sahaja tidak berkualiti tetapi juga merbahaya serta tidak pun memenuhi spesifikasi undang-undang negara. mengikut laporan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Sabah, barangan elektrik murah dari China merupakan punca kebanyakan kejadian kebakaran yang membabitkan kematian dinegeriSabah.
kadang-kadang kita terfikir juga, tidak adakah undang-undang berkaitan penjualan barangan tidak bermutu ini. mengapa lesen-lesen perniagaan dikeluarkan kepada para peniaga yang menjual barang berkenaan?. atau, undang-undang ada tetapi penguatkuasaan yang lemah. masyarakat kita juga perlu diberikan pendidikan kepenggunaan, iaitu memilih barang kerana kualiti dan bukannya membeli kerana faktor harga, tetapi barang yang dibeli tidak berkualiti.







Tuesday, December 9, 2008

BOLA OH BOLA ...

musim liga bola sepak tempatan akan tiba tidak lama lagi. ketika ini pasukan yang bertanding berlumba-lumba mahu mendapatkan pemain yang baik. musim kali ini, FAM tidak lagi membenarkan àwang import' beraksi di liga Malaysia. kononnya ia tidak dapat membaiki dan meningkatkan mutu bola sepak tempatan. tidak tahulah pulak, betul atau tidak. tapi kalau kita amati ada juga betulnya. kedudukan pasukan kebangsaan kita pun tidak banyak berubah dalam rangking dunia. kalau sudah tempat ke 157 FIFA, itu macamlah bola sepak tidak dimainkan di negara kita. selama ni pun `awang import' yang main di liga kita tidaklah cerdik sangat. gaji saja tinggi.

tapi semangat orang kita main bola pun tidak lah setinggi dulu zaman era Allahyarham Mokhtar Dahari dan rakan-rakannya. dulu kita boleh sampai layak ke olimpik. tapi hari ini kita sekadar main dalam kelayakan olimpik, tapi akhirnya tidak layak. mungkin pemain kita melihat bola dalam konteks lain, terutamanya ganjaran. rantaiannya seperti berikut :-



betulkah kita ni hanya jaguh kampung ?


main dalam hujan bolehlah menang !


salah tempat latihan ? padang ?






gaji bukan tidak cukup. kurang cukup





selalu menang teka, bukan pertandingan








bilakah kita setanding mereka ?

JIKA TIDAK ...





KITA MAIN FUTSAL SAJA ....














Monday, December 8, 2008


BILA SHAH RUKH KHAN DAPAT `DATUK'


Biarpun mendapat bantahan dan teguran, Kerajaan Negeri Melaka tidak berganjak dari keputusannya menganugerahkan bintang "Darjah Mulia Seri Melaka" (DMSM) kepada pelakon terkenal Bollywood Shah Rukh Khan. Sahlah pelakon diminati ramai itu kini bergelar `Datuk'. Biarpun SRK mungkin orang asing, tetapi Kerajaan Melaka melihat anugerah berkenaan sebagai strategi mempromosi industri pelancongan negeri. Mungkin negeri lain pun tidak pernah terfikir apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Sebagai sebuah negeri yang kecil dan tidak banyak potensi alam yang boleh dieksploitasi, Ketua Menteri Melaka tahu hanya sektor pelancongan yang mampu meningkatkan ekonomi negeri. Dulu pernah saya mendengar, rakyat negara lain lebih kenal Melaka, berbanding Malaysia. Filem One 2 ka 4, yang dilakonkan SRK adalah antara filem yang menjadikan Melaka sebagai lokasi penggambaran. Oleh itu, tidak hairanlah anugerah berkenaan diberikan kepada SRK. Difahamkan SRK akan datang lagi membuat penggambaran di Melaka.


Kerajaan negeri Sabah juga boleh mencontohi apa yang Kerajaan negeri Melaka buat iaitu mempelawa filem yang dilakonkan pelakon terkenal membuat penggambaran di negeri ini. Tidak lama dulu agak terkenal juga negeri kita apabila Filem BAT 21 dan Survivor menjadikan negeri ini lokasi penggambaran. Lagi pun kita ada banyak lokasi yang sesuai untuk para pembuat filem. Melaluinya promosi pelancongan kita akan lebih mendapat sambutan. Kata orang ` otak mesti mahu jalan'.


nasib baik ada ampal, mat kongo .... bolehlah







TANAH RUNTUH ... BILA STATUS DIRI MENJADI KEUTAMAAN



Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa, bukanlah kejadian pertama seumpamanya di negara kita. Sejak tragedi Highland Tomers 15 tahun dahulu, pelbagai kejadian tanah runtuh telah berlaku terutamanya di ibu negara.

Walaupun lereng bukit merupakan kawasan berisiko tinggi untuk membina bangunan atau rumah, tetapi ia tetap menarik minat terutamanya golongan kaya untuk menjadikan ia sebagai tempat tinggal. Kawasan lereng bukit yang menampilkan panorama yang menarik serta udara segar telah menyebabkan sebilangan orang berlumba-lumba untuk memilikinya. Walaupun terdapat pelbagai peraturan dibuat supaya bangunan tidak dibina di kawasan berisiko ini, tetapi ia tidak pernah menyekat kemahuan manusia, sekaligus mengenepikan persoalan lebih penting; nyawa.

Tragedi Bukit Antarabangsa patut menyedarkan kita semua betapa pentingnya faktor alam semulajadi diberikan perhatian dalam membina bangunan atau rumah. Kadang-kadang bukan sahaja lereng bukit berisiko ditarah, tetapi anak sungai juga ditimbus bagi memenuhi keperluan manusia. Akhirnya semua pihak mendapat susah.

Kerajaan perlu pebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada. Faktor nyawa perlu diambilkira dalam meluluskan pembinaan di kawasan lereng bukit. Jika tidak, tragedi Bukit Antarabangsa akan hanya menjadi pengajaran yang sia-sia.




Saturday, December 6, 2008



PENYERTAAN PARTI BARU … BN PERLU KAJI


Laporan menyebut Datuk Raymond Tan, mantan Timbalan Presiden SAPP sedang dalam persiapan untuk menubuhkan parti baru bagi meneruskan perjuangan beliau dan pengikut dalam politik Sabah. Penubuhan parti baru berkenaan, akan diikuti dengan permohonan untuk menyertai BN.

Kemunculan parti baru akan menambahkan lagi bilangan parti politik di negeri ini, sekaligus mungkin menjadi negeri yang mempunyai bilangan parti politik terbanyak di negara ini. Itulah senario politik negeri ini, setiap kali terdapat perpecahan dalam sesebuah parti, sebilangan ahli parti akan keluar dan menubuhkan parti baru. Ini terjadi sejak merdeka lagi. Jika kita susuri kepimpinan parti-parti politik negeri ini, akan wujud susur galur dan pertalian pemimpinnya dengan parti-parti terdahulu. Baik USNO, BERJAYA, PBS, UPKO, SAPP, PBRS; semuanya adalah susur galur perpecahan parti politik yang ada. SAPP, UPKO (PDS) dan PBRS itu sendiri adalah hasil dari perpecahan dalaman PBS. Apabila Datuk Raymond ingin menubuhkan parti baru, parti itu juga adalah hasil perpecahan dalam SAPP. Mungkin Datuk Raymond dan beberapa pemimpin lain yang meninggalkan SAPP, tidak berminat menyertai parti lain sedia ada dalam, kerana mereka mungkin tidak akan mendapat kedudukan atau tempat yang baik dalam parti baru.

Keputusan Datuk Raymond terus menyokong BN tentunya disambut baik oleh BN. Memang pun BN memerlukan sokongan apatah lagi dalam senario politik negara hari ini. Tetapi BN juga perlu memikirkan pertambahan bilangan parti komponen hanya akan menimbulkan polemik kepada kepimpinan BN dalam menguruskannya. Hari ini, dalam suasana politik yang begitu mencabar, rasanya lebih banyak kontroversi ditimbulkan oleh parti komponen dalam BN, berbanding parti pembangkang. Tetapi kita boleh menerima senario berkenaan jika ia datangnya dari parti pembangkang, bukan parti komponen BN sendiri. Lihat sahaja ragam MCA, MIC, GERAKAN dan PPP. Kepimpinan BN juga terpaksa berhadapan dengan situasi apabila parti-parti komponen yang ada meninggalkan BN kerana tidak setuju dengan sesuatu perkara tanpa alas an yang menasabah. Apatah lagi disaat BN memerlukan sokongan padu daripada anggota komponennya dalam menghadapi kegawatan politik pada hari ini.

Ada baiknya pemimpin yang menghadapi kesukaran politik seperti Datuk Raymond menyertai sahaja parti komponen BN sedia ada. Lagi pun sudah ada parti berasaskan kaum Cina di negeri ini, seperti MCA, GERAKAN dan LDP. Keikhlasan perjuangan tidak semestinya dibuktikan dengan menubuhkan parti politik baru.



GESAAN BUBARKAN RELA … LIHAT DULU JASA MEREKA


Majlis Peguam telah menggesa agar Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dibubarkan. Alasannya, banyak aduan mengenai anggotanya menyalahgunakan kuasa dan melakukan kekerasan semasa melancarkan serbuan.

Cadangan ini nampak sangat tidak rasional dan mengenepikan kepentingan keselamatan awam. Tugas Rela sebenarnya amat penting khususnya dalam menyokong peranan pihak berkuasa seperti Polis dan Imigresen dalam menguatkuasakan undang-undang Negara. Bilangan angggota Polis dan Imigresen yang terhad, menyebabkan Rela diperlukan dalam membantu tugas mereka. Ini termasuklah membantu serbuan dan menahan Pendatang Tanpa Izin dalam sesuatu operasi. Apatah lagi dalam jumlah PTI yang perlu dikendalikan juga adalah ramai.

Rela juga terlibat membantu pihak Polis dalam menguatkan kawalan dalam sesuatu program. Walhal angggota Rela yang ditugaskan ini hanyalah menikmati elaun yang terhad, berbanding peranan dan tanggungjawab yang mereka pikul. Kadang-kadang angggota Rela terpaksa bekerja dipanas terik dan keadaan hujan semata-mata mahu mempastikan peranan yang mereka pikul dapat dilunaskan.Alasan salahguna kuasa dan kekerasan dalam menjalankan tugas tidak boleh menjadi sandaran untuk membubarkan Rela. Kita tidak menafikan ada kes-kes salahguna kuasa dan kekerasan yang melibatkan anggota Rela. Tetapi ia hanyalah kes terpencil. Dalam sesuatu organisasi yang melibatkan ramai anggota sudah tentu ada juga antaranya yang melakukan kesalahan. Sama juga halnya yang berlaku dalam pasukan Polis. Takkanlah Polis mahu dibubarkan hanya kerana ada anggotanya melakukan kesalahan.

Adakah profesion Peguam perlu dibubarkan hanya kerana ada peguam yang terlibat dengan salah laku dan kesalahan lain ? …

Thursday, December 4, 2008


BUSH ! ... AKHIRNYA KAU MENGAKU JUGA ...

dihujung kerjaya sebagai Presiden Amerika Syarikat, Bush mengakui kesilapan perisikan dan pencerobohan terhadap Iraq. Tetapi penyesalan itu sudah tidak berguna. Nampaknya Bush mahu mencuci tangan dengan apa yang telah dilakukannya terhadap rakyat Iraq yang tidak berdosa.

semasa menyerang Iraq dulu, kata untuk menyelamatkan dunia dari al Qaeda dan Saddam Hussin yang zalim. Tetapi hingga ke hari ini Iraq tidak pernah aman. Malahan lebih kacau bilau berbanding semasa Saddam berkuasa dulu. Itulah stail Amerika berurusan dengan negara lain, terutamanya negara Islam. Tapi lain pula halnya dengan negara Bukan Islam, macam Korea Utara. Sedangkan Korea Utara telah dilabelkan oleh Amerika sebagai negara `Paksi Keganasan'. Apa tidaknya, Korea Utara bukan sahaja memiliki, tetapi terang-terang mengaku ada Nuklear, tidak pula diserang. Walhal kalau Amerika serang Korea Utara, sekelip mata sahaja boleh dimusnahkan dengan kekuatan ketenteraan yang ada. Tetapi kerana Korea Utara bukan negara Islam, tidak jadilah Amerika menggodamnya.

Tiada kepastian terhadap sikap Presiden Amerika seterusnya, Obama. Ini kerana sejak dulu semua Presiden Amerika memang sudah diketahui pendiriannya. Apatah lagi dengan pengaruh pelobi Yahudi yang sememangnya berkuasa keatas ekonomi Amerika. Silap-silap Obama lagi teruk macam `bom'.















Wednesday, December 3, 2008

KETUANAN MELAYU MENGIKUT PERSPEKTIF DR.RAIS YATIM



kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim :-


" Orang Melayu perlu kuat, berilmu tinggi dan berkeupayaan mengatasi perjuangannya tanpa kelemahan jika mahu melihat Ketuanan Melayu terus kukuh dan tidak dijadikan pertikaian mana-mana pihak "


"Orang Melayu juga memerlukan individu atau pemimpin yang berani menyatakan sesuatu mengenai Ketuanan Melayu jika tidak mahu terus `dipukul'oleh pihak lain yang melihat Melayu lemah dan tidak lagi gagah seperti sering diperkatakan "


"kalau kita lemah seperti pokok condong, kura-kura pun naik. Dulu pokok orang Melayu berada dalam kedudukan tegak, usahkan kura-kura, monyet pun tidak berani naik "


"hal ini jangan kita cucuk pada pandangan politik. Istilah Ketuanan Melayu itu berasal dari pensejarahan Sultan Melayu dan bagi orang Melayu, ketuanan mereka ialah Sultan yang memerintah sesebuah negeri. Jadi kita tidak boleh sebut ketuanan dalam bentuk MIC dan MCA "


polemik Ketuanan Melayu menjadi besar selepas PR-12. orang berani kerana kita sudah semakin lemah ... sedarlah ...





NASIB UMNO DI SABAH, NASIB UMNO DI SEMENANJUNG

minggu ini saya tertarik dengan kisah Datuk Arif Shah Omar Shah dan Datuk Zaid Ibrahim.

Kedua-duanya mantan. Arif adalah mantan calon BN yang tewas menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Sementara Datuk Zaid pula adalah mantan Menteri di JPM.

Arif kononnya kecewa dengan Ketua Bahagian Permatang Pauh yang mengenepikannya dalam program parti UMNO. Kebetulan pula Arif juga adalah mantan calon yang tewas dalam perebutan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Majid. jadi, Arif dikhabarkan bercadang mahu masuk Keadilan. tambahan pula ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1.

Datuk Zaid pula telah letak jawatan Menteri JPM kerana menentang penggunaan ISA dalam kes yang semua kita tahu. lepas itu seringlah Zaid kelihatan dalam program parti pembangkang terutamanya Keadilan. Zaid akhirnya dipecat dari UMNO oleh MT.

semasa UMNO belum ada di Sabah, saya amat kagum dengan kesetiaan para pemimpin dan ahli UMNO di Semenanjung. Sama ada tidak terpilih jadi calon, kalah dalam pemilihan parti atau gugur dalam kabinet, mereka tetap setia kepada parti. kerana itulah UMNO menang hampir 95 peratus kawasan yang ditandinginya kerana ahli-ahlinya setia kepada parti.

lain pula di Sabah, lompat parti suatu ketika telah menjadi amalan `wajib'. kalah dalam pemilihan parti atau tidak terpilih jadi calon, pasti akan cari `rumah baru'. tiada kesetiaan abadi. dalam erti kata lain, mudah merajuk.

tapi lanskap politik UMNO hari ini sudah jauh berubah di Sabah dan Semenanjung. sejak 6 tahun lepas, jarang kita dengar pemimpin UMNO di Sabah ini melompat parti kerana faktor-faktor tadi. semasa pengumuman calon UMNO pilihanraya Mac lepas oleh Ketua Menteri, ada juga kedengaran beberapa pemimpin akan melompat parti kerana tidak terpilih jadi calon. tapi akhirnya ia adalah berita khabar angin saja. ada juga yang mengatakan calon UMNO akan kalah kerana tidak popular atau disebabkan sentimen tertentu. tapi keputusan pilihanraya membuktikan calon UMNO menang juga. tiada yang kalah. jadi terbukti ahli-ahli UMNO benar-benar menyokong dan setia kepada parti. ahli-ahli parti sudah menjiwai aspirasi UMNO itu sendiri. mereka nampaknya lebih setia kepada parti.

UMNO tidak akan kalah teruk di Semenanjung dalam pilihanraya Mac lepas, kalau ahli-ahli parti setia kepada parti seperti mana yang mereka amalkan dulu. keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh jelas membuktikan ahli-ahli UMNO sendiri telah mengundi `rumah baru'. nampaknya keadaan sudah terbalik, kini ahli-ahli UMNO di Sabah lebih setia kepada parti, dibandingkan ahli-ahli UMNO di Semenanjung.

kalau lah ahli-ahli UMNO di Sabah buat seperti ahli-ahli UMNO di Semanjung, dalam pilihanraya Mac lepas, masih adakah lagi Kerajaan Barisan Nasional ?
Sabah... tatap ....










PILIHAN RAYA DATANG LAGI ...
Nampaknya tidak dapat dielak lagi, pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan diadakan. kita menunggu-nunggu pilihanraya kecil Pensiangan, tapi silap-silap Kuala Terengganu yang `raya' dulu.

dalam pilihanraya Mac lalu, BN mendapat 32, 562 undi, PAS 31, 924 undi dan Bebas 685 undi. Majoriti BN hanya 628 undi. tidaklah banyak majoriti yang BN dapat.

Dalam senario politik hari ini, sudah tentu pilihanraya kecil Kuala Terengganu menjadi cabaran besar kepada BN. apatah lagi majoriti BN dalam parlimen tidaklah begitu banyak. Pembangkang tentunya berhabisan untuk menawan kerusi Kuala Terengganu, kerana itu akan menambah bilangan kerusi mereka di parlimen.
tetapi pengundi Kuala Terengganu kena juga melihat apa yang sudah berlaku di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, sejak 9 bulan lepas. Apa yang dibuat, tidaklah juga sebaik apa yang dibuat oleh BN. Banyak juga janji yang tidak dapat ditunai. Pengundi harus memberikan komitmen untuk menyokong BN yang telah terbukti "track record "nya





HARGA MINYAK TURUN LAGI


Kerajaan BN umumkan lagi penurunan harga minyak sebanyak 10 sen di negara kita berkuatkuasa 3 Disember 2008. Harga baru minyak :-


Petrol RON97 - RM1.90 seliter

Petrol RON 92 - RM 1.80 seliter

Diesel - RM 1.80 seliter


penurunan ini adalah buat kali keenam sejak pengumuman seumpamanya dibuat pada Ogos lepas. Kali terakhir pengumuman penurunan harga minyak adalah pada 18 November.


Fakta di atas membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang prihatin dengan nasib dan kebajikan rakyat. Sebenarnya keprihatinan kerajaan telah menjadi amalan sejak sekian lama. Tetapi sebahagian kita mungkin tidak melihatnya secara meluas dan jauh. Tidak mustahil antara sebab sebahagian daripada pengundi memilih pembangkang pada PR ke-12 adalah disebabkan kenaikan harga minyak. Biarpun sudah dijelaskan oleh kerajaan rasional kenaikan harga minyak, tetapi ia tidak dapat diterima keseluruhan rakyat.


apabila harga minyak dinaikkan, pembangkang pula mengecam kerajaan. Pelbagai teori dibuat, termasuklah keupayaan kewangan Petronas. Tetapi apabila harga minyak turun hingga enam kali sejak Ogos lepas, tidak ada pula kedengaran pujian dari pembangkang. Sedangkan mereka juga mendapat nikmat daripada penurunan harga minyak berkenaan.


itulah ... kalau kita asyik berpolitik.


saya teringat kata-kata kawan "harga minyak naik ... orang naik minyak"

nasib baik tidak jadi orang minyak



Tuesday, December 2, 2008


MENGEJAR GLAMOR KERJA DI SINGAPURA. AKHIRNYA ....?


Mengikut Jabatan Buruh Sabah, purata 78 aduan daripada penduduk Sabah yang bekerja di Singapura sebulan. Ini termasuklah layanan buruk dan ditipu agensi pengambilan bekerja di Singapura.


Apa aduannya :-

1. tiada gaji kerana pemotongan tinggi untuk agensi pengambilan kerja.

2. kerja yang diberikan, berlainan dengan janji sebelum ke Singapura.

3. gaji rendah, tidak sama iklan macam di kk.

4. kerja lebih lapan jam, tiada OT.

5. ejen simpan pasport.


kasian orang kita ani tarutamanya di kampung-kampung yang salalu kana tipu ini. konon singapurr bagus karaja gaji tinggi. pakai dolarrr lagi.


ejen yang bawa masuk orang kita ani ka singapurr ani mimang jalim, indada kan hati parut. mungkin diorang ani spesis buaya tambaga.


nah ... jangan kita parcaya diorang ani. itu janji tarang bulan saja bah. bagus lagi kita batanam sayur di balakang rumah. jual di kk. ani, orang PTI pulang datang batanam sayur. kita maliat saja.


di kk karang ani, lada padi RM 20 sakilo. kalau kita ani ada 100 kilo. bapa suda kita dapat. kalau kita ani ada beratus-ratus kilo. lagi banyak kilor RM kita ani dapat ...


... jangan kita paning, inda pacaya maliat orang bajual sayur ada kereta pardana di bawah rumah ...



KETUANAN MELAYU VS KEPIMPINAN MELAYU






buat sekian kalinya isu ketuanan Melayu dibangkitkan lagi.

yang membangkitkannya Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA

Nampaknya tidak habis-habis isu ketuanan Melayu dijadikan bahan jualan untuk mempopularkan diri serta menunjukkan diri adalah pejuang. Saluran sedia ada nampaknya tidak digunakan. Isu bersifat perkauman seperti ini, tidak akan membawa sebarang faedah jika dibangkitkan. Malahan akan hanya mendatangkan kemarahan kaum Melayu. Senario politik yang sudah kusut, tambah dikusutkan lagi dengan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman.


Adalah menjadi harapan kita agar pemimpin kita yang bijak pandai dari pelbagai kaum menjadikan perundingan dan perbincangan sebagai saluran menyelesai masalah.
... tapi biasalah pelakon ... mesti pandai berlakon

TRAGEDI MUMBAI : BERUNTUNGNYA KITA di MALAYSIA




dikhabarkan kepada seantero dunia tentang tragedi berdarah di Mumbai.

korbannya bukan sedikit : - 195 maut, 295 cedera:, walaupun penduduk India bilion jumlahnya

sekali sapu 10 tempat : hotel, airport, stesen keretapi: nasib baik bukan 20

ada juga rakyat kita yang kurang bernasib baik: terperangkap - lalu maut juga


walaupun nun jauh di sana.... ADA JUGA PENGAJARANNYA BUAT KITA DI MALAYSIA!
yang paling penting kita patut tahu .... BERUNTUNGNYA KITA DUDUK DI BUMI BERNAMA MALAYSIA

oleh itu ... politik, politik lah ...

JANGAN BUAT DEMONSTRASI, JANGAN BUAT HURU HARA, JANGAN LAWAN POLIS, JANGAN PERKECILKAN POLIS ...





ISU ISA : PPP BUKAN RAKAN SEHATI SEJIWA ?


Ugutan Parti Progresif Rakyat (PPP) yang mahu keluar dari BN jika ISA tidak dipinda sebelum PR ke -13, jelas menggambarkan sikap buruk mereka terhadap rakan sendiri. PPP dan Presidennya sekali, telah kalah teruk dalam PR ke-12 lepas. Sepatutnya mereka berdiri teguh mempertahankan Kerajaan dimana parti mereka sendiri ada didalamnya. Nampaknya bukan mereka mengambil pengajaran dari `petunjuk' pilihanraya, tetapi mengambil kesempatan pula untuk menunjukkan keegoan diri. Sebelum ini pun sudah beberapa kali PPP terutama Presidennya membuat ugutan kepada BN.


Sebenarnya tidak ada sumbangan besar yang mereka buat dalam pilihanraya lepas. Parti mereka kalah. Ini tandanya mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat. BN perlu tegas menangani mereka ini. Tidak perlu menunggu untuk tempoh jangka panjang untuk mengotakan kehendak ègo' mereka. Sekarang pun BN sudah patut mengotakan ugutan berkenaan, dengan menyingkirkan PPP dari BN. Kawan sebenar adalah kawan yang sanggup bersama sehati sejiwa semasa senang dan susah.
Kejutan PR -12, memberikan gambaran jelas siapa rakan sehati sejiwa UMNO dalam mengemudi Kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat. Mungkin ada baiknya UMNO mengkaji balik perkongsian hidup dengan rakan-rakan lain dalam BN. Ini kerana prestasi BN dalam pilihanraya ke-12 dan mungkin ke-13 nanti, hanya bergantung sepenuhnya kepada UMNO.
nampaknya, yang kalah, lebih sudu dari kuah ...

Monday, December 1, 2008




BANTUAN BINA RUMAH RAKYAT TERMISKIN NAIK ... TERIMA KASIH KERAJAAN


Kerajaan telah memutuskan Bantuan Rumah Rakyat Termiskin akan naik dari kadar lama RM 25, 300.00 seunit kepada RM 40, 000.00 seunit di negeri Sabah. Yang akan mendapat menafaat ialah keluarga miskin tegar yang belum ada rumah, ibu atau bapa tunggal yang ramai tanggungan serta keluarga mangsa bencana. Nampaknya Kerajaan kita sangat prihatin dengan nasib rakyat.

Kalau kita lihat, dunia sekarang sedang mengalami kemurungan ekonomi. Kesannya turut juga dirasakan di negara kita. Kalau di negara lain, tindakan kerajaan akan menjadi sebaliknya, iaitu bantuan-bantuan akan dikurangkan atau dihapuskan sama sekali. Tetapi berlainan pula tindakan kerajaan kita, rakyat miskin terus diberi perhatian dan dijaga kebajikannya.

Apa yang telah Kerajaan laksanakan telah pun terbukti. Ia tidak hanya cakap-cakap kosong yang tidak boleh dipegang. Janji akan ditunaikan. Ini namanya "Kerajaan Prihatin". Tetapi janji pihak lain belum tentu boleh dikota. Samalah janji mahu tubuhkan kerajaan baru pada 16 September...

Komitmen Kerajaan telah terbukti. Dasar ini akan memberi peluang kepada rakyat termiskin terbela nasibnya. Namun pelaksanaannya juga perlu sehebat dasarnya. Ada juga kita dengar sebelum ini, rumah yang didirikan tidak sepadan dengan jumlah bantuan yang diumumkan. Kalau bantuannya RM 25, 000.00 seunit, tapi rumah yang siap macam reban ayam saja. Jadi, bagaimana kehidupan rakyat terbela?. Kita harap kontraktor yang melaksanakan projek ini nanti akan bersikap amanah. Anggaplah membina rumah berkenaan sebagai tanggungjawab berat yang dipikul tanpa mengambil kira untung berlebihan.

Jika tidak, hanya bantuan saja berubah, bukan rumah yang didirikan ...

renung- renungkan ...

Friday, November 28, 2008

KALAU ADA PILIHANRAYA DI PENSIANGAN ... PILIHLAH ...

1. Pilihkan kerajaan dan parti yang telah mambina jalan raya dan mengkasi aspal dari Keningau ke Nabawan (parti pembangkang juga guna jalan ni..)
2. Pilihlah kerajaan/parti yang telah bikin sekolah tampat anak-anak kita balajar. (termasuk juga anak-anak parti pembangkang ...)
3. Pilihlah Kerajaan/parti yang telah menyediakan Pinjaman/Biasiswa untuk anak-anak kita ke menara gading (Unibesti la itu) ...(termasuk juga menafaatnya kepada anak-anak parti pembangkang)
4. Pilihlah Kerajaan/parti yang telah menghapuskan yuran peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM (banyak juga tu)
5. Pilihlah Kerajaan/parti yang telah menurunkan harga minyak (siapa juga pakai kereta ... bukan penyokong karajaan saja)
6. Pilihlah Kerajaan/parti yang telah bikin UMS/UITM/Politeknik/Insititut Perguruan (termasuk di Keningau) dan banyak lagi poli2 yang lain (mana ada syarat anak penyokong BN saja bolih masuk)
7. Pilihlah Kerajaan/parti yang telah manyadiakan bakalan api (mana ada syarat rumah orang BN saja dapat)
8.Pilihlah Kerajaan / parti yang telah me ...
. Pilihlah Kerajaan / parti yang telah me ...
kalau ku taip, sampai minggu dapan pun balum habis ...

Thursday, November 27, 2008




KONFLIK POLITIK THAILAND ... DEMOKRASI CARA MINORITI




Thailand kini nampaknya menuju ke puncak kehancuran . Konflik politik yang wujud berbulan lamanya sudah semakin parah. Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) yang telah berbulan-bulan berdemontrasi kini nampaknya menguasai keadaan di kota Bangkok.

Walaupun pilihanraya umum Thailand baru sahaja diadakan, tetapi politiknya terus `memuntahkan lahar' persengketaan. Parti yang mendapat majoriti kerusi dan sokongan rakyat dibantah. Jadi apa gunanya pilihanraya?. Nampaknya siapa pun yang menjadi Perdana Menteri, ia tetap tidak memuaskan hati sebahagian orang.


Nampaknya ekonomi Thailand akan mengalami kejatuhan. Sektor pelancongan akan menjadi gelap. Perpaduan rakyat akan menjadi perpecahan. Untungkan mereka yang mengadakan demonstrasi ini?

Apa yang berlaku di Thailand patut menjadi pengajaran berguna kepada rakyat Malaysia. Ini kerana di negara kita pun sudah ada demonstrasi haram. Sebahagiannya dibuat oleh pertubuhan haram pulak tu!. Pilihanraya sudah berlalu. Masa yang ada perlu digunakan untuk semua pihak khususnya pembangkang membantu Kerajaan membangunkan negara dan rakyat.


orang kita jangan `gauk' saja ...