Saturday, December 6, 2008



PENYERTAAN PARTI BARU … BN PERLU KAJI


Laporan menyebut Datuk Raymond Tan, mantan Timbalan Presiden SAPP sedang dalam persiapan untuk menubuhkan parti baru bagi meneruskan perjuangan beliau dan pengikut dalam politik Sabah. Penubuhan parti baru berkenaan, akan diikuti dengan permohonan untuk menyertai BN.

Kemunculan parti baru akan menambahkan lagi bilangan parti politik di negeri ini, sekaligus mungkin menjadi negeri yang mempunyai bilangan parti politik terbanyak di negara ini. Itulah senario politik negeri ini, setiap kali terdapat perpecahan dalam sesebuah parti, sebilangan ahli parti akan keluar dan menubuhkan parti baru. Ini terjadi sejak merdeka lagi. Jika kita susuri kepimpinan parti-parti politik negeri ini, akan wujud susur galur dan pertalian pemimpinnya dengan parti-parti terdahulu. Baik USNO, BERJAYA, PBS, UPKO, SAPP, PBRS; semuanya adalah susur galur perpecahan parti politik yang ada. SAPP, UPKO (PDS) dan PBRS itu sendiri adalah hasil dari perpecahan dalaman PBS. Apabila Datuk Raymond ingin menubuhkan parti baru, parti itu juga adalah hasil perpecahan dalam SAPP. Mungkin Datuk Raymond dan beberapa pemimpin lain yang meninggalkan SAPP, tidak berminat menyertai parti lain sedia ada dalam, kerana mereka mungkin tidak akan mendapat kedudukan atau tempat yang baik dalam parti baru.

Keputusan Datuk Raymond terus menyokong BN tentunya disambut baik oleh BN. Memang pun BN memerlukan sokongan apatah lagi dalam senario politik negara hari ini. Tetapi BN juga perlu memikirkan pertambahan bilangan parti komponen hanya akan menimbulkan polemik kepada kepimpinan BN dalam menguruskannya. Hari ini, dalam suasana politik yang begitu mencabar, rasanya lebih banyak kontroversi ditimbulkan oleh parti komponen dalam BN, berbanding parti pembangkang. Tetapi kita boleh menerima senario berkenaan jika ia datangnya dari parti pembangkang, bukan parti komponen BN sendiri. Lihat sahaja ragam MCA, MIC, GERAKAN dan PPP. Kepimpinan BN juga terpaksa berhadapan dengan situasi apabila parti-parti komponen yang ada meninggalkan BN kerana tidak setuju dengan sesuatu perkara tanpa alas an yang menasabah. Apatah lagi disaat BN memerlukan sokongan padu daripada anggota komponennya dalam menghadapi kegawatan politik pada hari ini.

Ada baiknya pemimpin yang menghadapi kesukaran politik seperti Datuk Raymond menyertai sahaja parti komponen BN sedia ada. Lagi pun sudah ada parti berasaskan kaum Cina di negeri ini, seperti MCA, GERAKAN dan LDP. Keikhlasan perjuangan tidak semestinya dibuktikan dengan menubuhkan parti politik baru.


No comments: