Monday, December 8, 2008






TANAH RUNTUH ... BILA STATUS DIRI MENJADI KEUTAMAAN



Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa, bukanlah kejadian pertama seumpamanya di negara kita. Sejak tragedi Highland Tomers 15 tahun dahulu, pelbagai kejadian tanah runtuh telah berlaku terutamanya di ibu negara.

Walaupun lereng bukit merupakan kawasan berisiko tinggi untuk membina bangunan atau rumah, tetapi ia tetap menarik minat terutamanya golongan kaya untuk menjadikan ia sebagai tempat tinggal. Kawasan lereng bukit yang menampilkan panorama yang menarik serta udara segar telah menyebabkan sebilangan orang berlumba-lumba untuk memilikinya. Walaupun terdapat pelbagai peraturan dibuat supaya bangunan tidak dibina di kawasan berisiko ini, tetapi ia tidak pernah menyekat kemahuan manusia, sekaligus mengenepikan persoalan lebih penting; nyawa.

Tragedi Bukit Antarabangsa patut menyedarkan kita semua betapa pentingnya faktor alam semulajadi diberikan perhatian dalam membina bangunan atau rumah. Kadang-kadang bukan sahaja lereng bukit berisiko ditarah, tetapi anak sungai juga ditimbus bagi memenuhi keperluan manusia. Akhirnya semua pihak mendapat susah.

Kerajaan perlu pebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada. Faktor nyawa perlu diambilkira dalam meluluskan pembinaan di kawasan lereng bukit. Jika tidak, tragedi Bukit Antarabangsa akan hanya menjadi pengajaran yang sia-sia.




No comments: